[UBDSK] Warwickians’ Day Out

Alhamdulillah, akhirnya program “UBDSK: Warwickians’ Day Out” berjaya juga diadakan dengan jayanya di Padang Besar Tocilwood. Dengan kehadiran lebih 50 orang warga Warwick, kehangatan suasana jelas dirasai. Program yang dijadualkan bermula pada pukul 12.30 tengahari ditangguh sehingga selepas solat Zohor memandangkan ramai yang belum sampai dan ada beberapa kumpulan pelajar tahun pertama yang tersesat kerana mencari tempat program. Dengan tidak semena-mena saudara Izzul telah dipilih untuk menjadi AJK Pengangkutan tidak rasmi untuk pergi mengambil mereka. Lepas ni kena lukis peta dan letak di page event ni🙂

Setelah selesai solat Zohor secara berjemaah di padang, proses pembakaran ayam dan sosej diteruskan. Alhamdulillah kerana kerja ‘bako-membako’ ini diuruskan oleh pihak muslimin. Jadi muslimat dibenarkan untuk pergi bersuka-ria. Ada yang main ‘frisbee’, ada yang main ‘boomerang’, ‘bubble’ dan yang main-main pun ada. Tidak kurang juga yang mengatur makanan di meja makan sambil curi makan. (Jangan tiru aksi ini)

Antara tukang bako…

Sementara menunggu ayam dan sosej siap, hadirin yang ada mengambil kesempatan untuk menjamah hidangan yang lain dahulu kerana untuk UBDSK kali ini, sistem potluck atau ‘makananku makananmu jua’ diadakan selain daripada BBQ yang disediakan oleh pihak penganjur. Sekali tengok, lebih daripada meja di bazar Ramadhan gamaknya. Ada yang membawa nasi goreng. Bukan setakat  warna hitam, merah dan putih pun ada. Tidak kurang juga yang membawa spaghetti goreng,  spaghetti beserta kuahnya, spaghetti bersalut telur, kek batik, kek coklat, tiramisu, ‘cheesecake’, puding karamel, ‘puffin’ (pudding muffin O.O), cucur ikan bilis, cucur tanpa ikan bilis, keropok goreng Kelantan, agar-agar ‘Belgium Chocolate’, aiskrim buatan kedai dan paling banyak sekali adalah keropok beraneka warna plastik keluaran TESCO Universiti.

Jelas kelihatan proses menambah makanan sedang berlaku dan haaaa…tu diaaa! Keropok beraneka warna🙂

Berpinar-pinar mata tatkala ingin membuat pilihan makanan apa yang perlu dijamah terlebih dahulu. Boleh dikesan juga muka-muka yang telah menambah 3-4 kali tanpa segan. Tidak mengapa kerana jika tidak dimakan, dikhuatiri membazir pula.

Bersesuaian dengan UBDSK sendiri iaitu ‘Usrah Beramai-ramai Dan Sedikit Kenduri’ setelah makanan jasmani dijamah, kini tibalah masanya untuk kita menyantap makanan rohani pula. Lebih kurang pukul 3.30 petang, pengisian oleh Abang Jo pun bermula. Pengisian kali ini berkisar tentang ‘Ilmu’ di mana Abang Jo mengingatkan hadirin yang hadir yang sesungguhnya menuntut ilmu itu adalah suruhan daripada Allah SWT, bukan seronok-seronok untuk mendapatkan kemahsyuran dan kekayaan. Sebagai seorang muslim terutama yang berada di luar negara, kita perlu mencari ilmu dengan bersungguh-sungguh. Mengapa? Supaya apabila pulang ke tanah air nanti, kita boleh menyeru masyarakat kepada Allah SWT di mana kita mahu masyarakat sedar yang ‘tinggi’ sebenarnya bukan tahap mana yang kita dapat capai tetapi yang tinggi itu adalah kedudukan ilmu Allah SWT itu sendiri.

Abang Jo juga ada menceritakan tentang Kisah Zulkarnain yang tertulis dalam Surah Al-Kahfi di mana Zulkarnain perlu menempuhi suatu perjalanan dan dia telah menyelesaikan masalah yang berlaku di setiap tempat yang dia singgah. Ini dapat dikaitkan dengan peranan pendakwah dan orang berilmu sendiri di mana perlunya untuk keluar bertemu masyarakat dan menyeru mereka ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Di mana pun kita pergi, kita perlu menyumbang bantuan untuk menyelesaikan masalah ummah. Kalau tidak dapat tolong pun, jangan pula menambahkan masalah.  Selain itu, diterangkan juga tentang tips-tips dalam belajar. Antaranya:

  1. Perlu memperbanyakkan munajat kepada Allah SWT kerana asas belajar kita adalah ilmu daripada Allah SWT
  2. Memastikan diri terhindar daripada maksiat yang boleh menyebabkan diri kotor kerana sifat ilmu itu adalah bersih dan ilmu tidak akan masuk dalam hati orang yang berbuat maksiat
  3. Meminta restu dan doa daripada ibu bapa dan ahli keluarga. Minta mak ayah sama-sama doakan kita
  4. Memperbanyakkan bacaan al-Quran

 Abang Jo selaku penceramah jemputan

Alhamdulillah biarpun sekejap, tetapi banyak manfaat yang ditimba daripada sesi usrah pada kali ini.  Selepas pengisian, sesi makan, beramah-mesra dan permainan diteruskan. Alhamdulillah program kali ini habis lebih kurang pukul 5.30 petang tadi. Terima kasih diucapkan kepada semua yang hadir dan pihak I.Luv.Warwick sendiri selaku penganjur. Harapnya aktiviti seumpama ini dapat diadakan lagi pada masa akan datang. InsyaAllah.

🙂 Kredit untuk Abang Jo dan Kak Ira untuk gambar

3 thoughts on “[UBDSK] Warwickians’ Day Out

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s